Senarai Artikel

Rabu, 19 April 2017

‘Rampas’ Parti Guna e-ROSES, Cucu Saya Pun Boleh Buat.


KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan ‘menyambut baik’ langkah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan dua yang lain.

Menurutnya, tindakan yang bakal diambil Khairuddin itu kelak menjelaskan kebenaran yang pasti berpihak kepada mereka.

Katanya, pendedahan Khairuddin menerusi gambar-gambar daripada Sistem Elektronik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (eROSES), bukan pengesahan muktamad daripada ROS bahawa Parti Generasi Baru berjaya dimilik oleh Datuk Mohd. Ezam Mohd. Noor dan Khairuddin.

“Sistem eROSES itu, mana-mana pertubuhan atau parti politik, mereka akan diberi password untuk buat sebarang pindaan. Itu perkara teknikal, budak sekolah pun boleh buat.

“Tapi itu tidak bermakna ROS bagi kelulusan. Ini pun dia (Khairuddin dan Ezam baru masuk (daftar) saja. Tak sah lagi. Saya nak jadikan awak presiden pun boleh,” katanya.

Bagaimanapun, bagi mengelak daripada memalukan diri atas kesilapan sendiri, Cheng Guan menasihatkan Khairuddin supaya menunggu keputusan daripada ROS terlebih dahulu.

“Nasihat saya, tunggulah keputusan ROS dahulu. Itu pindaan, siapa pun boleh buat selagi ada password dari ROS. Siapa pun boleh buat, termasuk cucu saya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini, memberi amaran akan mengheret tiga individu yang didakwa memfitnah kepimpinan partinya ke mahkamah.

Menurut Khairuddin, sidang akhbar oleh Datuk G.Kumar yang mendakwa dirinya presiden Parti Generasi Baru(PGB) semalam jelas telah memfitnah dan menjatuhkan kredibiliti beliau serta Mohd Ezam.

Selain Kumar, sidang media itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Sementara PGB, Mohd Zaini Jaafar dan Cheng Guan. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/04/18/rampas-parti-guna-eroses-cucu-saya-pun-boleh-buat-cheng-guan/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan