Senarai Artikel
Ahad, 30 April 2017
PCM, PAS Jalin Kerjasama?
ALOR SETAR 29 April – Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak menolak kemungkinan parti itu akan menjalinkan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan berkata, ini kerana PCM merupakan sebuah parti yang bebas dan mereka berhak menjalinkan hubungan politik dengan mana-mana parti.
“Dalam politik apa sahaja boleh jadi kerana tidak ada yang mustahil boleh berlaku seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dahulunya membenci bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sudah bersahabat baik.
“Siapa sahaja yang ingin menjadi kawan kita akan alu-alukan untuk jalinkan kerjasama dengan kita, siapa yang memaki hamun kita akan tolak,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini hari ini.
Menurut Cheng Guan, Pas mempunyai kekuatan jentera yang tersendiri malah mempunyai penyokong yang kuat di setiap negeri termasuk di Pulau Pinang.
“Pas perlu bertanding di semua negeri termasuk di Pulau Pinang kerana mereka ada kekuatan, kalah atau menang jangan terlalu difikirkan,” jelasnya.
Tambah beliau, ini merupakan muktamar kedua yang dihadirinya dan dapat dilihat semangat daripada para perwakilan lebih tinggi pada muktamar kali ini.
“Tahun lalu saya ke Kelantan dan kali ini di Kedah para perwakilan lebih bersemangat mungkin sebagai persediaan untuk berdepan dengan pilihan raya,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/politik/pcm-pas-jalin-kerjasama-1.475639 © Utusan Melayu (M) Bhd
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan