Senarai Artikel

Ahad, 2 April 2017

Kenapa Teresa Takut ?


KUALA LUMPUR 1 April – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang sering melaungkan mahu pentadbiran negara yang telus seharusnya tidak takut dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes penyelewengan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan berkata, SPRM yang merupakan sebuah badan bebas dan tidak pernah memihak mana-mana parti politik telah menjalankan tanggungjawab dengan adil.

Katanya, perkara itu jelas apabila SPRM turut menyiasat skandal tanah di Johor dan menahan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri kerana cuba merasuah Sultan Johor.

“Di hadapan rakyat, DAP berpura-pura kononnya inginkan pentadbiran yang kompeten, telus, dan terbuka tetapi apabila disiasat SPRM mereka melatah dan mengatakan ini semua satu drama dan konspirasi.

“Kalau dikatakan drama, saya rasa Teresa paling pandai berdrama kerana setiap Tahun Baru Cina mesti membuat klip video menyindir orang tertentu. Maka beliau paling kuat berdrama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bulan lalu, Pengerusi Gabu­ngan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membuat laporan polis dan mendakwa Teresa terlibat dalam penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan penyalahgunaan dana SMUE.

Pendedahan itu mengejutkan Teresa yang bertindak mengambil tindakan undang-undang ke atas Jamal bagi menolak dakwaan tersebut.

Jelas Cheng Guan, sikap ‘double standard’ DAP jelas apabila ahli-ahli parti itu disiasat oleh SPRM susulan laporan penyelewengan wang rakyat tetapi kemudian mereka menuduh pula siasatan itu bersifat politik untuk menjatuhkan kredibiliti mereka.

Malah katanya, dalam kes penyelewengan wang SMUE oleh Teresa, Ahli Parlimen Seputeh itu secara terbuka mengatakan dia akan menyaman Jamal kerana melaporkan dakwaan itu kepada SPRM.

“Jadi sekarang adakah Teresa dan DAP akan menyaman sesiapa sahaja yang melaporkan salah laku mereka kepada SPRM?

“Persoalannya sekarang, apa istimewanya pemimpin DAP sehingga mereka tidak boleh disiasat pihak SPRM?” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Parlimen Selayang, Muhamad Nazri Mohd. Amin berkata, rakyat Selangor berhak mengetahui sebab dana itu gagal disalurkan kepada mereka sebaliknya diberikan kepada ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Cheras, Batu, Kepong, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Segambut.

Katanya, lebih meragukan apabila kerajaan negeri melantik Mohd. Firdaus Hashim yang dipercayai proksi Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk mengendalikan pengagihan dana tersebut di kawasan Pandan.

http://m.utusan.com.my/berita/politik/kenapa-teresa-takut-1.464536

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden
Parti Cinta Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan