HUAN: Jika selepas penjelasan dan didapati pindaan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan masyarakat bukan Islam, mereka boleh menolak pindaan rang undang-undang itu.
Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak cepat melatah dan mengambil keputusan terburu-buru berhubung pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan berkata, tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian sehingga sanggup mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Ini (Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016) bukan hukum hudud. Biar Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) berikan penjelasan dahulu.
''Jika selepas penjelasan dan didapati pindaan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan masyarakat bukan Islam, mereka boleh menolak pindaan rang undang-undang itu,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin parti komponen BN, antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menyuarakan hasrat meletakkan jawatan dalam Kabinet jika rang undang-undang tersebut diluluskan.
Bagaimanapun pada Jumaat lalu, Perdana Menteri telah menjelaskan, pembentangan usul rang undang-undang persendirian itu di Dewan Rakyat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah hukum hudud.
Menurut Cheng Guan, sebagai ahli Parlimen, ketua-ketua parti komponen BN terbabit harus faham tentang prosiding di Parlimen sebelum membuat sebarang keputusan ataupun andaian yang akan memberi kesan kepada semua pihak.
''Jika mereka bersuara tentang demokrasi selama ini, sekurang-kurangnya biarlah penjelasan daripada Abdul Hadi didengar dahulu, kemudian baharulah berfikir untuk membuat apa-apa keputusan.
''Perkara ini tidak akan ada penyudahnya jika sering dipersoalkan kerana pihak pembangkang mempunyai hak untuk membentangkan rang undang-undang persendirian dalam setiap persidangan Dewan Rakyat," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan sekali lagi supaya semua pihak bertenang dan dengar dahulu penjelasan oleh Abdul Hadi berhubung pindaan rang undang-undang tersebut.
Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia
30 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan