Senarai Artikel

Rabu, 18 Januari 2017

GST : Mahathir Serlahkan Dirinya Lidah Bercabang


Jika ada sesiapa yang masih ingat, antara perkara yang begitu hebat diserang oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan hari ini adalah isu yang membabitkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Beliau mendakwa, GST telah meningkatkan harga barangan di pasaran tempatan dan berterusan memanipulasikan keadaan. 

Sejak pengenalan GST pada 1 April 2015, beliau berulang kali mahu memansuhkan sistem percukaian ini yang dakwanya tidak adil pada rakyat. Walhal, pada 1985, beliau antara orang pertama yang mencadangkan perlaksanaan sistem percukaian ini namun mendapat tentangan daripada barisan kabinetnya sendiri.

Perkara yang sama turut diulangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1995 dan kali ini ditentang oleh Mahathir. Setelah Datuk Seri Mohd Najib mengambil keputusan kurang popular untuk mengadakan juga sistem GST, sekali lagi Mahathir sekali lagi tampil menentang perlaksanaan cukai tersebut.

Antara alasan yang diberikan adalah, sistem cukai SST yang diamalkan semasa pentadbiran beliau adalah yang terbaik buat rakyat di mana ianya sudah diamalkan sejak sekian lama. Persoalannya, jika Mahathir benar-benar seorang yang bijak, cukai manakah yang labih tinggi dikenakan kepada rakyat?
Mengulas tentang perkara ini, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, jika Mahathir memperjuangkan SST, cukai berkenaan dikenakan pada kadar 10 peratus untuk cukai barangan dan 5 peratus pada cukai perkhidmatan. Jadi jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan adalah pada kadar 15 peratus.

Manakala cas cukai GST pula adalah padar 6 peratus flat. Justeru, beliau mempersoalkan, adakah SST jauh lebih rendah berbanding GST? Jawapannya, sudah tentu tidak. Beliau berkata, satu perkara yang Mahathir cuba sembunyikan adalah, melalui cukai SST, terlalu banyak peniaga dan peruncit, culas membayar semula cukai yang dikenakan kepada pihak kerajaan.

Jika ada yang membayarnya sekalipun, jumlahnya tidak setara dengan jumlah yang dikenakan kepada pengguna. Di sinilah boleh disimpulkan bahawa kerajaan sewaktu pentadbirannya mengalami kerugian tanpa sedar!

Namun melalui cukai GST, ianya disifatkan lebih telus di mana peluang buat peniaga untuk mengelak dari membayar cas cukai berkenaan kepada kerajaan, adalah amat tipis. Kita boleh melihat sendiri bagaimana ada diantara peniaga yang didakwa di mahkamah akibat culas membayar hasil cukai berkenaan kepada kerajaan dan menaikkan harga sesuka hati mereka.

Datuk Huan juga berasakan Mahathir menggunakan alasan yang karut apabila mendakwa harga barangan hari ini selepas cas GST dilaksanakan, meningkat dengan mendadak. Bagi beliau, ia jelas satu dakwaan cukup karut dan hanya direka-reka oleh Mahathir untuk mendapatkan sokongan kepada beliau.

Ini kerana, sejak merdeka lagi kerajaan langsung tidak menjalankan apa jua jenis perniagaan pembekalan barangan makanan dan asas kepada rakyat. Justeru, beliau hairan, kenapa kerajaan yang dipersalahkan apabila berlaku kenaikan harga barang sedangkan pembekal, peruncit dan pemborong yang menaikkan harga barangan mereka?

Terkini, semasa merasmikan parti beliau di Stadium Melawati semalam, Mahathir mengumumkan akan memansuhkan cukai GST dan digantikan dengan cukat VAT yang disifatkan olehnya sebagai lebih telus. Dalam hal ini, Datuk Huan sekali lagi mempersoalkan, adakah Mahathir cuba memperbodohkan para pengikutnya?

Cukai GST dan VAT sebenarnya adalah sejenis cukai yang sama. Jika di Malaysia, ianya dipanggil sebagai GST manakala di luar negara seperti Britain, ianya dipanggil VAT. Boleh dikatakan, kedua-dua jenis cukai ini adalah sama cuma yang membezakan adalah namanya sahaja.

Adakah dengan cara ini, Mahathir dapat meyakinkan para penyokongnya? Bukankah ini satu pembohongan dan salah satu cara Mahathir memperbodohkan pengikutnya sendiri?

Apa yang Mahathir mahu lakukan hanyalah meniru bulat-bulat apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini. Beliau hanya memanipulasikan nama dan keadaan hanya untuk meraih sokongan termasuklah perlaksanaan BR1M yang sebelum ini beliau dakwa sebagai rasuah dari kerajaan.

Tegas beliau, adakah ianya satu rasuah sedangkan BR1M ini dilakukan setiap tahun tanpa henti sejak 2012? Adakah ianya bersifat rasuah apabila bantuan seumpama ini mampu membantu golongan sasar? Bagaimana pula dengan perlaksanaan BR1M ini mahu dijadikan contoh oleh Britain, Indonesia dan beberapa negara yang lain?

Adakah itu juga dilabelkan rasuah oleh Mahathir? Mahathir yang ada hari ini bukanlah Mahathir yang dahulu semasa mentadbir negara selama 22 tahun. Mahathir yang ada pada hari ini adalah Mahathir yang bertuhankan nafsu dan bersendikan dendam. Beliau kini hanya mahukan semua orang mengikut kemahuannya dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperbodohkan pengikut sendiri demi mencapai apa jua yang dihajatinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan