Senarai Artikel

Selasa, 24 Januari 2017

Rumah Murah : Pulau Pinang Beri Alasan Sama


Parti Cinta Malaysia (PCM) membidas Kerajaan DAP Pulau Pinang yang asyik memberi alasan sama berhubung isu rumah kos sederhana rendah yang dibeli golongan kaya di ne­geri ini.

Sambil melahirkan rasa kesal dan kecewa, Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah tidak berminat menyelesaikan isu itu meskipun sudah sering dibangkitkan pelbagai pihak sebelum ini.

Malah, kata beliau, penduduk negeri ini sehingga kini masih menunggu mekanisme penyelesaian seperti yang sering dijanjikan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu itu.

“Kita sudah muak dan bosan dengan jawapan kerajaan negeri kononnya akan menyiasat isu ini dan mencari jalan penyelesai­an sedangkan sehingga hari ini tiada satu pun langkah drastik diambil biarpun isu ini sudah didedahkan sejak sekian lama,” kata­nya kepada pembe­rita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Peru­mahan, Kerajaan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo semalam yang memaklumkan kerajaan negeri sedang melihat tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas pemilik rumah kos sederhana rendah yang menyewakan unit mereka kepada individu lain.

Sebelum ini, PCM mendedahkan sebuah projek perumahan yang dikhususkan kepada golongan miskin di Bukit Gambir di sini didapati dibeli golo­ngan kaya selain turut diiklankan untuk disewa.

Dalam pada itu, Cheng Guan turut mempersoal mengapa kerajaan negeri tidak bertindak ke atas manipulasi golongan kaya dalam isu tersebut yang jelas menafikan hak golongan miskin.

Sedangkan, kata beliau, kerajaan negeri turut mendakwa kononnya mempunyai meka­nisme menghalang golongan kaya membeli unit kediaman itu sehingga menafikan hak golo­ngan miskin.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin ini bagi menyiasat sekiranya berlaku ketirisan dalam pemilihan pembeli unit rumah kos sederhana rendah tersebut.

“Kita mahu SPRM menyiasat bagaimana golongan kaya yang mampu memiliki kenderaan yang jauh lebih mahal daripada unit rumah murah itu boleh terpilih mendapatkan kediaman berkenaan,” katanya.

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia

8 Oktober 2016 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan