Via Utusan Malaysia, 21 March 2017
KUALA LUMPUR 20 Mac – Pemimpin DAP merupakan yang paling aktif mensabotaj ekonomi negara hingga sanggup menghantar wakil mereka ke luar negara dengan tujuan memburuk-burukkan imej Malaysia dan kerajaan.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan berkata, sebagai contoh, pada 18 Julai 2013, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Tan Hong Pin; ADUN Tangkak, Ee Chin Li; ADUN Bentayan, Chua Wee Beng dan bekas pemimpin Pas, Mazlan Aliman pergi ke Taiwan untuk memprotes penyertaan Kuokuang Petrochemical Technology Co. (KPTC) daripada melabur dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).
“Akibatnya, sebulan selepas protes diadakan di Taiwan oleh wakil-wakil DAP ini, KPTC menarik diri daripada melabur di RAPID atas sebab tertentu.
“Selain RAPID, pembangkang cuba mensabotaj projek Lynas di Kuantan, Pahang. Mereka berdemonstrasi di hadapan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur. Malah, Ahli Parlimen Kuantan daripada PKR, Fuziah Salleh juga antara yang kuat membantah pembangunan Lynas dan menggunakannya sebagai modal politik kempen pilihan raya umum. Namun sekarang, isu Lynas sudah senyap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kelmarin, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perbuatan mensabotaj ekonomi harus dihentikan oleh mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian tidak wajar diteruskan walaupun golongan berkenaan mempunyai perbezaan pendapat politik.
Sehubungan itu, Cheng Guan menyarankan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara supaya melihat undang-undang yang boleh dikenakan ke atas pengkhianat tersebut supaya tindakan mensabotaj ekonomi negara tidak lagi berlaku pada masa akan datang.
“Ini kerana tindakan jijik dan tidak bertanggungjawab mereka mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap kemajuan serta pembangunan negara tercinta ini.
“Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan, latihan keusahawanan sama ada dalam industri kecil atau sederhana, industri perkhidmatan dan aktiviti ekonomi lain hasil daripada pelaburan tidak akan wujud sekiranya pembangkang berjaya dalam agenda jahat mereka untuk mensabotaj ekonomi negara,” ujarnya.
Artikel Penuh :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan