Senarai Artikel

Selasa, 7 Februari 2017

Pengurusan Ekonomi DAP Pulau Pinang lebih teruk dari Wilayah Persekutuan.

07/02/2017 – Walaupun mendakwa kerajaan DAP telah berjaya memajukan negeri serta meningkatkan ekonomi rakyat Pulau Pinang semenjak mereka mentadbir dua penggal lepas, statistik pendapatan isi rumah diantara negeri pula menunjukkan sebaliknya.

Pendedahan yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan membuktikan bahawa DAP Pulau Pinang telah gagal menguruskan ekonomi negeri dengan baik berbanding di wilayah-wilayah Persekutuan.

Beliau turut menempelak Ketua Parlimen Pakatan, Lim Kit Siang serta beberapa pemimpin DAP yang menuduh tiada pembangunan ekonomi di wilayah-wilayah persekutuan yang ditadbir oleh kerajaan pusat.

Menurut Huan, Labuan dan Kuala Lumpur telah lama mengatasi Pulau Pinang dari segi pertumbuhan Pendapatan isi rumah terutamanya sejak DAP mengambil alih negeri ini daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak bersetuju dengan pemimpin-pemimpin Pakatan yang mengatakan bahawa tidak ada bukti pembangunan ekonomi di wilayah-wilayah persekutuan.

“Sebenarnya, kedua-dua Labuan dan Kuala Lumpur telah mengatasi Pulau Pinang – kedua-duanya dari segi pertumbuhan KDNK per kapita serta pertumbuhan Pendapatan Isi Rumah sejak DAP mengambil alih Pulau Pinang pada tahun 2008..”kata Huan dalam blognya.

Selain itu, Huan turut menunjukkan statistik perbandingan KDNK Perkapita dan juga statistik pendapatan isi rumah bagi Pulau Pinang, Labuan dan juga Kuala Lumpur bagi menguatkan dakwaannya terhadap ketidakcekapan kerajaan DAP Pulau Pinang mentadbir negeri sepanjang 8 tahun.

Jika dilihat pada statistik berkenaan, KDNK Perkapita Wilayah Persekutuan Labuan sebenarnya berada dikedudukan lebih rendah dari Pulau Pinang pada tahun 2007 dengan mencatatkan kurang RM3,280.

Tetapi pada akhir tahun 2015, KDNK perkapita WP Labuan bukan sahaja mengatasi Pulau Pinang, tetapi ia mencatatkan jumlah RM13,730 lebih tinggi daripada negeri yang ditadbir oleh Setiausaha Agung DAP tersebut.

Bagi Kuala Lumpur pula, KDNK Perkapita WP Kuala Lumpur hanya mencatatkan perbezaan RM13,762 sahaja dari apa yang dicatatkan oleh Pulau Pinang pada tahun 2007.

Tetapi pada akhir tahun 2015, KDNK Perkapita wilayah berkenaan kini telah meningkat kepada RM49,875. Jauh mengatasi Pulau Pinang yang digembar-gemburkan oleh DAP sebagai negeri yang paling berjaya didalam Malaysia.

“Saya tidak percaya ini semua kerana Kuala Lumpur dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan, tetapi semua ini disebabkan oleh pengurusan ekonomi yang teruk oleh DAP Pulau Pinang , dan juga ketidakcekapan serta ketidakmampuan mereka untuk menyiapkan projek untuk membangunkan negeri..” tegas Huan.–Utaranews.com

Datuk Huan Cheng Guan

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia

7 Feb 2017 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan