Senarai Artikel
Khamis, 5 Oktober 2017
KDN Digesa Siasat Dana Malaysiakini
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menjalankan siasatan untuk mengenal pasti secara terperinci sumber dana yang membiayai portal berita propembangkang, Malaysiakini.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, tindakan itu amat penting bagi mengetahui individu sebenar di sebalik portal itu yang dilihat sering menyiarkan berita-berita berbaur fitnah dan provokasi.
“Saya sudah banyak kali menyuarakan isu Malaysiakini namun nampaknya ia kebal dan tiada mana-mana pihak berwajib yang berani menyiasat portal tersebut. Jika dilihat, portal itu seolah-olah bebas memuatkan apa jua berita dengan sesuka hati terutamanya kandungan anti kerajaan tanpa ada sebarang kawalan.
“Justeru, saya menggesa KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat latar belakang portal itu termasuk semua ahli lembaga syarikat itu, sumber pembiayaan dana dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, bekas pengasas bersama PKR, Ng Lum Yong berkata, portal itu perlu mendedahkan latar belakang penyumbang dana syarikat itu yang selama ini dikaitkan dengan ‘hidup atas sumbangan asing’.
Kata beliau, Malaysiakini bertanggungjawab kepada rakyat negara ini untuk mendedahkan siapa penyumbang dana dan apakah matlamat portal tersebut ditubuhkan.
Mengulas lanjut, Cheng Guan turut mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berwajib terhadap Malaysiakini sedangkan portal itu dari awal menyiarkan berita bersifat fitnah dan hasutan.
“Kita ketahui portal itu dibiayai oleh pihak asing namun mengapa kerajaan membiarkan portal sedemikian untuk beroperasi di negara ini sedangkan ia boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian masyarakat.
“Malah, kebanyakan beritanya juga tidak membawa manfaat kepada rakyat dan negara. Ini boleh mengundang pemikiran dan minda masyarakat terpesong daripada fakta sebenar,” katanya.
Jelasnya, sebagai media, Malaysiakini bukan sahaja berperanan sebagai penyebar maklumat tetapi juga perlu menjadi pendidik kepada masyarakat.
Via : http://m.utusan.com.my/berita/politik/kdn-digesa-siasat-dana-i-malaysiakini-i-1.534156
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan