TIDAK perlu pergi jauh kata Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan untuk menilai secara umum pencapaian kerajaan hari ini.
Bukan mahu memuji semberono tetapi ini hakikat atau realiti, kata Cheng Guan kepada akhbar ini semalam.
“Kadang-kala kita (sebilangan orang) gemar dengan perlakuan provokatif sehinggakan fakta yang terbukti sengaja diabaikan.
“Ada ketikanya orang luar (rakyat negara lain) pula mengagumi kita (Malaysia) sehinggakan PCM sendiri hairan tak bersyukurkah kita dengan kemakmuran dan kestabilan yang dikecapi kita hari ini,” katanya.
Cheng Guan menggariskan 10 sebab berikut mengapa kerajaan sedia ada masih tetap diperlukan oleh rakyat negara ini:
1. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan memastikan hasil pendapatan kerajaan dikongsi secara terus dengan rakyat tanpa melalui pihak tengah. Bantuan langsung ini memberi hak kepada rakyat untuk menentukan cara yang mereka mahu gunakan untuk membelanjakan wang diberi.
2. Kadar cukai pendapatan individu dikurangkan sekali gus membantu rakyat menguruskan kewangan dan menangani kesan kenaikan kos sara hidup.
3. Di Lembah Klang, projek Transit Aliran Ringan (LRT) - 2 dan Transit Aliran Massa (MRT) membantu pergerakan dari satu tempat ke tempat lain dengan cepat dan kos yang murah.
4. Di Sabah dan Sarawak, projek Lebuh Raya Pan Borneo tanpa tol membolehkan kedua-dua negeri itu itu dihubungkan melalui jalan darat, seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk di sepanjang lebuh raya.
5. Di peringkat nasional, program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diperkenalkan hasil usahasama kerajaan dan pemaju dalam membina rumah mampu milik untuk masyarakat M40. Ini termasuklah projek-projek KPKT untuk rakyat B40.
6. Di Wilayah Persekutuan, projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) dibina untuk penduduk dalam usaha memastikan setiap keluarga di negara ini memiliki sekurang-kurangnya satu rumah.
7. Pendidikan rendah dan menengah diberikan hampir percuma sekali gus meringankan beban keluarga yang mempunyai anak ramai.
8. PTPTN disediakan bagi anak-anak muda yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Bagi yang cemerlang, pinjaman itu ditukar kepada biasiswa tanpa bayaran balik.
9. Projek mega seperti projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor, MRT di Lembah Klang dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pantai Timur bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.
10. Segala manifesto kerajaan BN semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) hampir siap dilaksanakan.
Janji kerajaan ditepati berbanding pembangkang yang secara terbuka memberitahu rakyat bahawa manifesto ‘bukan janji’.
Via Utusan : https://m.utusan.com.my/berita/politik/mengapa-abaikan-fakta-1.524021