Senarai Artikel

Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Jumaat, 21 April 2017

Abdul Latif Bandi Jauh Lebih Gentleman Berbanding Lim Guan Eng



Saya melihat tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membasmi gejala rasuah sejak akhir-akhir ini, cukup membanggakan. Mereka bertindak tanpa memilih pangkat mahupun kedudukan. Saya melihat SPRM hari ini sebagai sebuah agensi yang benar-benar serius dalam membasmi rasuah. Sekalung tahniah saya ucapkan.

Saya sedikit tertarik melihat bagaimana Exco kerajaan negeri Johor, Datuk Abdul Latif Bandi bertindak begitu gentleman apabila menghantar surat perletakkan jawatannya selaku Exco kerajaan negeri sebaik sahaja beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Beliau nyata tahu erti tanggungjawab dan sedar, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya mungkin akan merosakkan imej kerajaan negeri dan parti UMNO yang diwakilinya. Mungkin bagi beliau, biarlah beliau meletakkan jawatan dari terus memegang jawatan berkenaan disaat beliau sedang menghadapi kes rasuah di mahkamah.

Ini baru gentleman, bukan seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Saya melihat, Lim Guan Eng cukup tamakkan kuasa sehingga sanggup membiarkan imej kerajaan negeri rosak akibat keengganannya meletakkan jawatan.

Seluruh Malaysia sudah mengetahui bahawa Lim Guan Eng telah dihadapkan kemahkamah atas tuduhan salah guna kuasa yang dia lakukannya. Namun, dengan muka selambanya, dia masih enggan meletakkan jawatan malah lebih melucukan, dia sanggup meminta mahkamah untuk menangguhkan seketika kesnya dari dibicarakan.

Saya hairan, di mana maruah Guan Eng selaku orang penting dalam DAP bila menghadapi kes seumpama ini? Lihat betapa gentlemannya Datuk Abdul Latif Bandi yang sanggup meninggalkan jawatannya untuk memberi tumpuan kepada kes yang sedang dihadapinya.

Mungkin Lim Guan Eng harus belajar bagaimana mahu menjadi seorang gentleman. DAP Pulau Pinang sendiri sudah mula menyuarakan penolakan mereka terhadap Guan Eng namun bagi Guan Eng, kuasa adalah segalanya dan dia langsung tidak memperdulikan apa jua desakan untuk menyuruhnya meletakkan jawatan. Cukup memalukan!

Datuk Huan Cheng Guan 
Naib Presiden
Parti Cinta Malaysia

Rabu, 5 April 2017

Nama Lim Guan Eng Akan Tercatat Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang Paling Gagal



Sejak akhir-akhir ini, banyak isu membabitkan cara pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diperkatakan. Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran Pulau Pinang dari tangan Barisan Nasional, segala yang dibina oleh BN terhadap Pulau Pinang dileburkan Guan Eng dalam tempoh 9 tahun pentadbirannya.

Lihat sahaja betapa rakusnya Guan Eng menjual segala tanah hak milik negeri kepada pihak luar. Ianya melibatkan anggaran kasar berjumlah RM 12.5 bilion yang mana wang berkenaan kekal menjadi misteri sehingga kini. Malah, KDNK Pulau Pinang juga dicatatkan sebagai antara yang paling rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di dalam Malaysia.

Saya sebenarnya cukup sedih dengan nasib yang menimpa rakyat negeri Pulau Pinang. Kesilapan mereka memberikan undi kepada DAP selama dua penggal hari ini telah menampakkan betapa teruknya Pulau Pinang “dijahanamkan” oleh Guan Eng demi memuaskan nafsu peribadinya sahaja.

Apa yang di tinggalkan olih Tun Lim Chong Eu sejak berpuluh tahun yang lepas telah di sailangkan begitu sahaja olih Kerajaan DAP. Terbaru, rakyat Pulau Pinang sudah mula mempersoalkan kemana tujunya wang peruntukan dari kerajaan pusat sebanyak RM 150 juta yang diberikan kepada kerajaan negeri bagi menaik taraf sistem perparitan serta pengurusan banjir.

Setiap kali hujan lebat turun, rakyat Pulau Pinang terutamanya bahagian pulau terpaksa berhadapan dengan banjir kilat. Kerosakan yang timbul bukan sedikit namun semua itu langsung tidak diperdulikan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Apa yang saya lihat hari ini, Lim Guan Eng lebih seronok untuk main politik berbanding mendepani masalah yang dihadapi rakyat. Dia lebih seronok mengkritik kerajaan Persekutuan berbanding dengan menguruskan keadaan semasa Pulau Pinang yang saya lihat, apabila turunnya hujan, Pulau Pinang akan berubah menjadi negeri taman tema air terbesar di Malaysia.

Jika ada sesiapa yang mencatatkan siapakah Ketua Menteri atau Menteri Besar yang paling gagal dalam sejarah Malaysia, nama Lim Guan Eng wajar diletakkan sebagai nama paling atas. Bagi saya, Lim Guan Eng nyata gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Menteri untuk membela nasib rakyat negeri Pulau Pinang dan alasan nya ialah selalu salahkan orang lain.

Datuk Huan Cheng Guan 
Naib Presiden 
Parti Cinta Malaysia

Selasa, 31 Januari 2017

Perayaan Untuk Dirai Bukan Untuk Dipolitik



Salam sejahtera buat seluruh rakyat Malaysia.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana tempoh perayaan Tahun Baru Cina kali ini menyaksikan tiada insiden buruk berlaku. Malah, Tahun Baru Cina ini diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan ianya membuktikan, masih ada sinar cerah buat perpaduan rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.

Lihat sahaja barisan kabinet negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina ini bersama-sama masyarakat Tionghua. Jelas sekali, mereka begitu rasional dan menjiwai sepenuhnya semangat 1Malaysia yang dilaungkan oleh kerajaan.

Namun, disaat saya dan seluruh masyarakat Tionghua bergembira meraikan Tahun Baru Cina ini, saya terkilan dengan sikap sesetengah pemimpin DAP terutamanya Lim Kit Siang, Tony Pua dan beberapa orang yang lain. Mereka langsung tidak menghiraukan detik penuh bermakna untuk kaum Cina kali ini.

Mereka seperti langsung tidak menghormati perayaan Tahun Baru Cina apabila secara kosisten mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan politik walaupun pada ketika itu, seluruh negara, terutamanya kaum Cina, sedang meraikan Tahun Baru Cina kali ini.

Lebih menyedihkan saya apabila terdapat pemimpin DAP yang memuat naik video tarian Singa semasa menyambut ketibaan Pedana Menteri kerumah terbuka Tahun Baru Cina. Jika hanya memuat naik, ianya tidak menjadi masalah. Cuma yang menjadikan saya sedih dan agak marah apabila mereka turut sama mengutuk tarian berkenaan. Apa yang mereka mahu sebenarnya?

Tidak bolehkah mereka mengenepikan sejenak fahaman politik demi menghormati hari perayaan sesuatu kaum? Tindakan mereka ini telah mengingatkan saya dengan tindakan Nga Kor Ming yang jelas sekali menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu sehinggakan ramai rakan saya dari kaum Melayu, tersinggung dengan sikap biadab pemimpin DAP ini.

Bayangkan, andai mereka menerajui kerajaan kelak, apa lagi tindakan biadab yang akan mereka lakukan tanpa mengira sambutan perayaan mahupun hari kebesaran sesuatu kaum di Malaysia. Mereka belum lagi membentuk kerajaan namun mereka sudah tidak menghiraukan apa jua hari perayaan mahupun sambutan hari kebesaran sesuatu kaum.

Saya ingin bertanya kepada pemimpin DAP, adakah ini yang mereka namakan kesaksamaan kaum sehingga sanggup mengenepikan hari kebesaran sesuatu kaum? Hari perayaan adalah hari untuk kita raikan bersama dan mengenepikan sebarang unsur politik mahupun perbezaan pendapat. Tetapi bagi DAP, tanpa mengira apa jua keadaan, mereka hanya tahu berpolitik tanpa memperdulikan perasaan rakyat!

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden
Parti Cinta Malaysia

Khamis, 26 Januari 2017

Video ; Mulianya DAP Pada Mata Mukhriz



Salam sejahtera buat seluruh rakyat Malaysia.

Hari ini telah tersebar satu video ucapan di mana Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengangkat DAP sebagai rakan sekutu yang cukup jujur, amanah dan sepatutnya diberikan penghormatan.

Saya agak hairan dengan kenyataan seumpama ini kerana sepanjang pengetahuan saya, sejak bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, DAP adalah musuh ketat bagi Barisan Nasional. Selama bertahun-tahun Mahathir menanam perasaan benci terhadap DAP namun kini, beliau dan anaknya, Mukhriz sudah kembali "memuliakan" DAP.

Lebih memeranjatkan saya adalah, jika Mukhriz akhirnya menjadi Perdana Menteri, slot untuk Timbalan Perdana Menteri akan diserahkan kepada DAP dan sudah semestinya, Lim Kit Siang akan menduduki jawatan nombor dua negara ini.

Secara tradisinya, jawatan orang nombor satu dan dua negara ini sememangnya dikhaskan buat pemimpin Melayu dan dalam kes ini, ianya membabitkan UMNO. Perkara ini sudah diamalkan sejak sekian lama walaupun sudah 6 orang Perdana Menteri bertukar ganti.

MCA sendiri tidak pernah menuntut jawatan berkenaan dan menerusi parti Mahathir inilah, peluang untuk DAP meraih jawatan Timbalan Perdana Menteri ini, terbuka luas.

Apa yang ingin saya persoalkan, apakah kreteria utama yang melayakkan DAP meraih kedudukan berkenaan? Mari saya bawakan perhatian terhadap apa yang mereka lakukan di Pulau Pinang. DAP menjarah habis segala aset dan hartanah di negeri ini tanpa memperdulikan nasib masa hadapan warga Pulau Pinang.

Bagi mereka, apa sahaja yang boleh menjana pendapatan bagi pemimpin mereka, meraka akan sapu sehinggakan hampir tiada lagi aset yang boleh dibanggakan oleh rakyat Pulau Pinang. Buktinya sudah ada, lihat sahaja bagaimana Lim Guan Eng kini berhadapan dengan pertuduhan salah guna kuasa. Adakah kita ingin melihat kesemua perkara yang telah berlaku di Pulau Pinang ini terjadi?

Mungkin inilah yang dimuliakan sangat oleh Mukhriz dalam video klip berkenaan. Nampaknya, demi kuasa, Mahathir dan PPBM akan melakukan apa sahaja asalkan mereka mampu berkuasa dan dapat menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

Datuk Huan Cheng Guan
Naib Presiden
Parti Cinta Malaysia


Rabu, 18 Januari 2017

GST : Mahathir Serlahkan Dirinya Lidah Bercabang


Jika ada sesiapa yang masih ingat, antara perkara yang begitu hebat diserang oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan hari ini adalah isu yang membabitkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Beliau mendakwa, GST telah meningkatkan harga barangan di pasaran tempatan dan berterusan memanipulasikan keadaan. 

Sejak pengenalan GST pada 1 April 2015, beliau berulang kali mahu memansuhkan sistem percukaian ini yang dakwanya tidak adil pada rakyat. Walhal, pada 1985, beliau antara orang pertama yang mencadangkan perlaksanaan sistem percukaian ini namun mendapat tentangan daripada barisan kabinetnya sendiri.

Perkara yang sama turut diulangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1995 dan kali ini ditentang oleh Mahathir. Setelah Datuk Seri Mohd Najib mengambil keputusan kurang popular untuk mengadakan juga sistem GST, sekali lagi Mahathir sekali lagi tampil menentang perlaksanaan cukai tersebut.

Antara alasan yang diberikan adalah, sistem cukai SST yang diamalkan semasa pentadbiran beliau adalah yang terbaik buat rakyat di mana ianya sudah diamalkan sejak sekian lama. Persoalannya, jika Mahathir benar-benar seorang yang bijak, cukai manakah yang labih tinggi dikenakan kepada rakyat?
Mengulas tentang perkara ini, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, jika Mahathir memperjuangkan SST, cukai berkenaan dikenakan pada kadar 10 peratus untuk cukai barangan dan 5 peratus pada cukai perkhidmatan. Jadi jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan adalah pada kadar 15 peratus.

Manakala cas cukai GST pula adalah padar 6 peratus flat. Justeru, beliau mempersoalkan, adakah SST jauh lebih rendah berbanding GST? Jawapannya, sudah tentu tidak. Beliau berkata, satu perkara yang Mahathir cuba sembunyikan adalah, melalui cukai SST, terlalu banyak peniaga dan peruncit, culas membayar semula cukai yang dikenakan kepada pihak kerajaan.

Jika ada yang membayarnya sekalipun, jumlahnya tidak setara dengan jumlah yang dikenakan kepada pengguna. Di sinilah boleh disimpulkan bahawa kerajaan sewaktu pentadbirannya mengalami kerugian tanpa sedar!

Namun melalui cukai GST, ianya disifatkan lebih telus di mana peluang buat peniaga untuk mengelak dari membayar cas cukai berkenaan kepada kerajaan, adalah amat tipis. Kita boleh melihat sendiri bagaimana ada diantara peniaga yang didakwa di mahkamah akibat culas membayar hasil cukai berkenaan kepada kerajaan dan menaikkan harga sesuka hati mereka.

Datuk Huan juga berasakan Mahathir menggunakan alasan yang karut apabila mendakwa harga barangan hari ini selepas cas GST dilaksanakan, meningkat dengan mendadak. Bagi beliau, ia jelas satu dakwaan cukup karut dan hanya direka-reka oleh Mahathir untuk mendapatkan sokongan kepada beliau.

Ini kerana, sejak merdeka lagi kerajaan langsung tidak menjalankan apa jua jenis perniagaan pembekalan barangan makanan dan asas kepada rakyat. Justeru, beliau hairan, kenapa kerajaan yang dipersalahkan apabila berlaku kenaikan harga barang sedangkan pembekal, peruncit dan pemborong yang menaikkan harga barangan mereka?

Terkini, semasa merasmikan parti beliau di Stadium Melawati semalam, Mahathir mengumumkan akan memansuhkan cukai GST dan digantikan dengan cukat VAT yang disifatkan olehnya sebagai lebih telus. Dalam hal ini, Datuk Huan sekali lagi mempersoalkan, adakah Mahathir cuba memperbodohkan para pengikutnya?

Cukai GST dan VAT sebenarnya adalah sejenis cukai yang sama. Jika di Malaysia, ianya dipanggil sebagai GST manakala di luar negara seperti Britain, ianya dipanggil VAT. Boleh dikatakan, kedua-dua jenis cukai ini adalah sama cuma yang membezakan adalah namanya sahaja.

Adakah dengan cara ini, Mahathir dapat meyakinkan para penyokongnya? Bukankah ini satu pembohongan dan salah satu cara Mahathir memperbodohkan pengikutnya sendiri?

Apa yang Mahathir mahu lakukan hanyalah meniru bulat-bulat apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini. Beliau hanya memanipulasikan nama dan keadaan hanya untuk meraih sokongan termasuklah perlaksanaan BR1M yang sebelum ini beliau dakwa sebagai rasuah dari kerajaan.

Tegas beliau, adakah ianya satu rasuah sedangkan BR1M ini dilakukan setiap tahun tanpa henti sejak 2012? Adakah ianya bersifat rasuah apabila bantuan seumpama ini mampu membantu golongan sasar? Bagaimana pula dengan perlaksanaan BR1M ini mahu dijadikan contoh oleh Britain, Indonesia dan beberapa negara yang lain?

Adakah itu juga dilabelkan rasuah oleh Mahathir? Mahathir yang ada hari ini bukanlah Mahathir yang dahulu semasa mentadbir negara selama 22 tahun. Mahathir yang ada pada hari ini adalah Mahathir yang bertuhankan nafsu dan bersendikan dendam. Beliau kini hanya mahukan semua orang mengikut kemahuannya dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperbodohkan pengikut sendiri demi mencapai apa jua yang dihajatinya.

Nasihat Dahulu Penyokong Sendiri Sebelum Mahu Bercakap Tentang Intergriti




Sehingga kini, masih ramai yang marah dengan sikap penyokong DAP yang tanpa memperdulikan saat kesedihan rakyat Sarawak, mereka sewenang-wenangnya mencaci dan memperlekehkan kematian Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem. Malah, ada diantara mereka yang mendoakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib pula dijemput Ilahi. 

Bagi kalangan rakyat Sarawak sikap seperti ini nyata tidak boleh diterima langsung. Malah dikalangan penyokong mahupun pemimpin pro kerajaan mereka mengutuk sekeras-kerasnya apa yang telah dilakukan oleh para penyokong DAP dan pembangkang ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan semalam, beliau menyelar sikap para penyokong dan pentaksub DAP dan pembangkang ini yang beliau sifatkan sebagai terlalu biadab dan melampau.

Katanya, sebelum ini, tidak pernah anak-anak kaum Cina diajar sebiadab ini oleh nenek moyang mereka. Namun setelah DAP terutamanya sekali Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mendapat kuasa, mereka menghasut pemikiran anak muda kaum Cina untuk membenci pemimpin kaum lain terutamanya pemimpin dari kaum Melayu.

Ujar beliau, sikap saling hormat menghormati antara kaum di Malaysia hari ini sudah sedikit demi sedikit terhakis akibat hasutan kotor yang dimainkan DAP dan pembangkang di Malaysia. Agak melucukan apabila anak beranak Lim melaungkan intergiriti dan kesaksamaan kaum, namun apa yang ditunjukkan oleh para pengikutnya jauh dari apa yang dilaungkan oleh semua pemimpin DAP ini.

Sambil mengajak semua orang berfikir, bagaimanakan perasaan kaum Cina apabila kaum lain atau kaum Melayu menghina kematian pemimpin DAP, begitulah yang dirasai oleh kaum Melayu dan rakyat Sarawak setelah mereka bertindak mencaci dan menghina pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan.

Satu lagi contoh yang boleh dianggap sebagai amat biadab apabila gambar pemimpin utama negara dipijak oleh para peserta BERSIH 4, tahun lalu. Adakah ini yang diajar DAP kepada para pengikutnya?

Jika dilihat dari gerak geri para penyokong DAP dan pembangkang ini, ada asasnya untuk menyatakan bahawa, mereka sememangnya mengamalkan cara berpolitik biadab dan tidak bertamadun.

Oleh yang demikian, kata Datuk Huan lagi, adalah lebih baik keluarga Lim "mendidik dan mengajar" semula para penyokongnya untuk bersikap lebih rasional dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Politik tidak mengajar kita menjadi biadab dan Guan Eng serta semua pemimpin DAP harus faham, Malaysia dihuni oleh pelbagai kaum dan agama.

Usah kerana memperjuangkan idealogi republik dan kesaksamaan kaum di Malaysia, semua orang dianggap musuh dan boleh dihina. Tegas Datuk Huan, beliau tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti Syria, Libya, Tunisia dan banyak negara lagi hanya disebabkan perselisihan faham politik, seluruh rakyat menanggung bahananya.

Selasa, 17 Januari 2017

Mana Maruah DAP Dan Guan Eng?



Sepanjang Barisan Nasional mentadbir Malaysia sejak hari kemerdekaan negara 1957 lagi, peralihan kuasa melibatkan pemimpin Barisan Nasional cukup berjalan lancar tanpa timbul sebarang masalah. Malah, ada dikalangan pemimpin Barisan Nasional akan berundur jika mereka mendapati, sokongan yang diterima semakin berkurangan. 

Lihat sahaja Sarawak yang baru-baru ini sekali lagi menyaksikan pertukaran Ketua Menterinya setelah penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem meninggal dunia.

Lihat betapa mudahnya peralihan kuasa tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Namun, dikalangan pembangkang, andai berlaku sebarang peralihan kuasa, ianya berlaku dengan penuh tragedi dan insiden yang mengganggu sistem pentadbiran sesebuah negeri.

Lihat sahaja peralihan kuasa Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali di Selangor yang berlarutan lebih 2 bulan sehingga rakyat Selangor turut terheret sama dalam kemelut politik Selangor ini. Dalam satu lagi situasi, Lim Guan Eng yang masih enggan melepaskan kuasanya walaupun dirinya sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Beliau masih berdegil untuk mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang dan seperti tidak mempunyai perasaan malu, beliau bertindak menunding jari kepada pihak lain yang menyebabkan dirinya di hadapkan ke mahkamah.

Bagi Naib Presiden, Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, beliau melihat Lim Guan Eng dan DAP khususnya adalah sebuah organisasi yang langsung tidak mempunyai intergriti dan maruah. Ini kerana, DAP sendiri mahu melihat Guan Eng mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang tanpa memperdulikan apa jua kes yang disabitkan keatas dirinya.

Lebih memburukkan keadaan, rakyat Pulau Pinang terpaksa menanggung kesengsaraan lebih akibat kedegilan Guan Eng dan DAP yang enggan tunduk kepada desakan dan pegangan maruah yang mereka perjuangkan selama ini.

Dalam hal ini, Datuk Huan jelas agak hairan melihat Guan Eng yang mempunyai dua orang timbalan namun, beliau seolah-olah menjadikan dua orang timbalannya sebagai patung. Ini kerana beliau memilih Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai penggantinya, itupun jika beliau disabitkan kesalahan yang sedang dibicarakan sekarang ini.

Andai semua kesalahan ini berlaku di dalam Barisan Nasional, DAP dan Guan Eng sendiri akan sering mempersoalkan, apa tindakan Barisan Nasional terhadap perlaku kesalahan berkenaan seperti mana nasib yang menimpa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo sebelum ini.

Ujar Datuk Huan lagi, andai DAP berpegang teguh kepada prinsip demokrasi dan intergiriti, DAP pusat harus mengambil satu keputusan konkrit untuk menyingkirkan Guan Eng daripada jawatannya selagi kes yang membabitkan dirinya masih berlangsung.

Ini tidak, Guan Eng terus dikekalkan di Pulau Pinang dan bolehlah dianggap sebagai "ikon rasuah" terbesar dalam Malaysia yang masih kekal berkuasa. Dengan segala tindak tanduk Guan Eng yang menafikan hak timbalannya sendiri untuk mengambil alih kuasa pentadbirannya, Guan Eng mahupun DAP tidak layak langsung untuk membicarakan soal intergriti dan demokrasi.

Barisan Nasional sudah berkali-kali membuktikan, jawatan bukan hak milik eksklusif individu, sebaliknya, ianya adalah hak milik rakyat dan parti. Negeri Sarawak adalah negeri terbaru yang telah membuktikan betapa mudah dan teraturnya peralihan kuasa Ketua Menteri.

Inilah yang gagal difahami Guan Eng tentang peralihan kuasa dan pentingnya meletakkan pemimpin yang dipilih untuk mengetuai mereka. Mungkin inilah padahnya apabila meletakkan Guan Eng, seorang anak Melaka yang cuba menjadi Maharaja di Pulau Pinang.